HADIS 1: WABAK ITU ADALAH RAHMAT BUAT MUKMIN
Maksudnya: Daripada Saidatina Aisyah RA, beliau berkata: Aku bertanya
Rasulullah SAW tentang wabak Ta’un. Lalu Rasulullah memberitahuku
bahawa ia adalah azab yang diutuskan oleh Allah kepada sesiapa yang Dia
kehendaki dan Allah menjadikannya sebagai Rahmat buat orang-orang
yang beriman. Tidak ada seorang pun yang ditimpa wabak Ta’un ini
sedangkan dia duduk di dalam negeri tempatnya dengan penuh kesabaran
dan bermuhasabah, dan dia faham bahawa tiada sesuatu yang menimpanya
melainkan semuanya telah ditentukan oleh Allah, melainkan dia akan
mendapat pahala seperti pahala syahid. (Sahih al-Bukhari)
Ulasan: Hadis ini menjelaskan kepada kita bahawa ujian penularan wabak
penyakit adalah azab buat manusia. Namun di sisi Muslim, ia boleh
dianggap sebagai rahmat buat mereka yang menghadapinya dengan penuh
muhasabah dan kesabaran.
Menurut al-Imam Ibn Hajar, hadis ini menekankan dari aspek disiplin
seorang Muslim dalam menghadapi suasana wabak. Muslim seharusnya
mengimani bahawa wabak yang melanda ini adalah ketentuan dari Allah,
mereka seharusnya mampu mengawal diri mereka di rumah, bersabar atas
segala ujian yang menimpa mereka serta meyakini bahawa tidak ada
sesuatu pun yang berlaku melainkan atas ketentuan Allah. Andai sekiranya
semua ciri-ciri ini dimiliki oleh seorang Muslim, maka beliau berhak
mendapat ganjaran seperti pahala syahid, seperti yang disebutkan di dalam
hadis.

No comments:
Post a Comment